Photobucket
Minta pertolongan Allah dengan sabar dan solat

praying.jpgAllah berfirman: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah: 153)
Ibn `Abbas berkata: Minta tolonglah atas menuntut akhirat dengan kesabaran dalam menunaikan segala fardu dan dengan solat.
Kita akan memperincikan dua jenis permohonan yang disebut oleh Allah iaitu :
  • kesabaran
  • solat.
Justeru akan diperincikan kedua-duanya.
SABAR
  • Pertama, kesabaran. Ia adalah ketetapan hati dalam menanggung kesukaran begitu juga dengan ujian dan tribulasi.
Sabar merupakan seberat-berat amalan batin atas jasad. Sedangkan solat seberat-berat amalan zahir atasnya. Justeru dengan digabungkan dua perkara sudah pasti membawa kelebihan yang besar, sebagaimana kata Syeikh al-Maghari. Sebagai melengkapkan lagi perbincangan ini, dinukilkan dari buku La Tahzan (Jangan Bersedih) di bawah tajuk Jadikan Buah Lemon Itu Minuman Yang Manis. Antara lain katanya: Orang cerdik akan berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan, sedangkan orang bodoh akan membuat sesuatu musibah menjadi bertompok dan berlipat ganda.
Semasa Rasulullah s.a.w diusir dari Mekah, baginda memutuskan untuk mendiami Madinah dan kemudian berhasil membangunkannya menjadi sebuah kota tamadun yang sangat akrab di telinga dan mata sejarah. Ahmad bin Hanbal pernah dipenjara dan dihukum dera tetapi kerananya pula beliau menjadi imam salah satu mazhab. Ibn Taimiyah pernah dipenjara tetapi disanalah beliau banyak melahirkan karya yang agung.
Al-Sarkhasi pernah dikurung di pelosok telaga bertahun-tahun tetapi tempat itulah beliau menggarap 20 jilid buku. Ketika Ibn al-Athir dipecat dari jawatannya, dia berjaya menghasilkan karya besarnya yang berjudul Jami’ al-Usul dan al-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam ilmu hadis. Begitu juga dengan Ibn al-Jauzi yang pernah diasingkan di Baghdad dan kerana itu dia menguasai qiraah al-Sab`ah (bacaan al-Quran atas tujuh qiraat).
Malik bin al-Gharib menderita dengan penyakit yang boleh membunuhnya namun dia mampu menggubah syair-syair yang sangat indah sehingga menandingi penyair besar zaman Abasiyah.
Seterusnya begitulah ketika tertimpa sesuatu musibah anda seharusnya melihat sisi yang paling terang daripadanya ketika seseorang memberi anda segelas air lemon anda perlu menambah sesudu gula ke dalamnya. Ketika mendapat hadiah seekor ular dari seseorang ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain. Apabila disengat kala jengking ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberi kekebalan kepada tubuh anda dengan bisa ular.
Justeru kendalikan diri anda dalam pelbagai kesulitan yang dihadapi. Dengan itu anda dapat mempersembahkan bunga mawar dan melati yang harum kepada kami.
SOLAT
  • Kedua, solat. Ini kerana solat merupakan thiqah dengan Allah. Justeru pertolongan Allah pasti datang dengan sebab mengabdikan diri kepadanya dan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah sehingga menjadikan solat cahaya mata dalam kehidupannya. Akhirnya dinaqalkan pendapat Sayid Qutub yang berkata: Kesabaran seringkali disebutkan di dalam al-Quran kerana Allah mengetahui betapa besarnya daya usaha yang gigih yang diperlukan oleh pendirian yang teguh dan jujur untuk mengikuti jalan Allah di tengah-tengah pelbagai godaan keinginan dan dorongan. Ia mememerlukan daya usaha yang gigih untuk perjuangan berdakwah kepada Allah di muka bumi ini.
Mereka iaitu pendakwah dan penjuang memerlukan hati yang tenang, tenteram serta sentiasa bersiap siaga dan berwaspada menghadapi sebarang rintangan sama ada dalaman atau luaran.
Kesabaran dan kegigihan itu diperlukan dalam semua bidang ini. Kesabaran untuk melaksanakan ketaatan-ketaatan dan menjauhi maksiat, kesabaran menentang penderhaka-penderhaka kepada Allah, kesabaran menghadapi aneka ragam tipu daya, kesabaran menunggu pertolongan yang lambat tiba.
Kesabaran berjalan di jalan yang jauh, kesabaran menghadapi perkembangan kebatilan, kesabaran menghadapi kekurangan pembantu, kesabaran menjalani jalan berduri yang panjang, kesabaran menghadapi penyelewengan- penyelewengan manusia dan kesesatan mereka dan kesabaran menghadapi kedegilan yang berat dan penolakan yang pedih.
Apabila mengambil masa yang terlalu lama dan berhadapan dengan usaha yang sukar, kadang-kadang kesabaran menjadi lemah atau terus hilang andainya di sana tidak ada bekalan yang baru. Oleh kerana itulah Allah gandingkan kesabaran dengan ibadat solat. Ini kerana ibadat solat merupakan sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis.
Ia adalah sumber yang memulihkan tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati kerana itu ia dapat memanjangkan tali kesabaran dan menjadikannya tidak putus. Kemudian ia menokok kepada kesabaran itu kerelaan, kepuasan ketenteraman, kepercayaan dan keyakinan.
Manusia yang fana’ lemah dan terbatas pasti mempunyai hubungan dengan kekuatan Ilahi yang agung di mana ia dapat mencari pertolongan apabila daya tenaga dan kemampuannya melewati batasnya. Apabila jalan perjuangan dirasa begitu lama dan jauh berbanding usianya yang terbatas kemudian ia melihat perjuangannya masih belum sampai ke mana-mana sedangkan hari sudah senja. Dia masih belum mencapai sesuatu kejayaan sedangkan matahari usianya hampir jatuh, juga apabila dia mendapat kejahatan berkembang subur dan kebaikan merosot dan terperosok di mana tiada cahaya kelihatan di ufuk dan tiada tanda di jalan.
Di sini ketaralah dengan jelas nilai ibadat solat, ia merupakan hubungan secara langsung di antara manusia yang fana’ dengan kekuatan yang kekal abadi
Wuduk, zikir ‘ubat’ mujarab kawal kemarahan

MARAH salah satu daripada sifat mazmumah (tercela) yang dibenci Allah dan Rasul. Marah akan menimbulkan sifat keji lain, seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Ja’far bin Muhammad berkata: “Marah itu kunci segala kesalahan (kekejian).”

Justeru, Rasulullah menganjurkan umatnya jangan marah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku!. Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).
Marah adalah salah satu sifat semula jadi manusia. Biasanya ia berpunca daripada tekanan perasaan, akibat dizalimi, dianiaya dan diperkecilkan. Marah adalah senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kebaikan dan kebinasaan. Jelasnya sifat marah boleh menjadi penyakit yang merosakkan keamanan dan keharmonian hidup.
Pada peringkat permulaan, sifat marah bukan penyakit, cuma luahan seseorang dalam bentuk tindakan dan tingkah laku. Ia adalah akibat daripada sesuatu sebab atau kesan yang kalau tidak berbuat demikian, kita berasa tidak selesa dan resah gelisah.
Sifat marah sudah mula bertapak di hati, jika tidak dibendung lama kelamaan akan memakan diri sendiri. Ia juga akan membawa padah kepada orang yang kita sayangi dan hormati, serta membawa keburukan serta kemudaratan kepada sekeliling kita.
Bagi membendung dan mengubati penyakit marah, Islam mengajarkan kepada kita satu ubat terbaik iaitu menahan diri tatkala marah dan sabar ketika hawa nafsu meluap-luap.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah).” (Riwayat al-Tirmizi)
Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan oleh syaitan. Syaitan dijadikan daripada api oleh itu ingatlah bahawa api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan di anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas akibat marah.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api.”(Riwayat Abu Daud).
Nabi Muhammad SAW menasihatkan kepada orang yang sedang marah supaya mengambil wuduk. Di samping itu, perbanyakkan zikir kepada Allah dapat menghapus dan memadamkan api kemarahannya yang sedang meluap-luap.
Islam mengajar umatnya mengambil berat hubungan murni antara suami dan isteri, anak dengan ibu bapa dan antara adik beradik. Ia adalah teras penting kehidupan sesebuah keluarga.
Allah berfirman bermaksud: “Dan Tuhanmu (Allah) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uh’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun).” (Surah al-Israk ayat 23).
Keluarga bahagia memang menjadi idaman kita. Namun, sepanjang hidup bersama ada ketikanya suami marah terhadap isteri dan anak dan begitulah sebaliknya. Kemarahan itu mungkin berkaitan dengan disiplin dalam rumah, tingkah laku anak, kewangan, makanan dan pelbagai perkara berkaitan hal ehwal rumah tangga.
Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri.
Inilah yang sering timbul apabila sifat marah sudah mula menular di dalam jiwa. Marah boleh merosak dan mengakibatkan kemusnahan jika tidak dikawal dengan hati yang rasional dan fikiran tenang.
Orang yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus bertoleransi dan persefahaman antara sesama manusia. Hindarkan sebab atau punca yang boleh menyebabkan orang lain memarahi kita.
Sekiranya kita yang dimarahi janganlah pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan itu. Hadapilah orang yang sedang marah dengan tenang dan bantulah dirinya mencari punca kemarahannya.
Bagi orang sering marah, renung dan hayatilah firman Allah bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.” (Surah al-Syura ayat 37).
Marah adalah penyakit yang sepatutnya dihindari, tetapi marah juga amat perlu dalam keadaan tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikut ajaran Islam. Jika mereka dalam tanggungannya sengaja melanggar perintah Allah, ketua keluarga wajib menegur dan memarahi.
Rasulullah marah apabila hukum Allah dilanggar dan dipermainkan, tetapi harus ingat bahawa marah bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan kaki tangan sehingga memukul sebaliknya ia mestilah bertujuan mendidik untuk menunjukkan ketidaksenangan kita terhadap perbuatan maksiat itu. Inilah cara Islam mengarahkan sifat marah yang semula jadi pada diri manusia, supaya ia membawa kebaikan kepada manusia dan bukan membawa kebinasaan.
Ingatlah marah adalah senjata. Ia boleh membawa manfaat dan ia juga boleh membawa mudarat. Orang pandai dan kuat, adalah orang yang dapat mengawal kemarahannya agar ia membawa manfaat, bukan mudarat.
Enam amalan tingkat keimanan

Jiwa tenang, keluarga bahagia nikmat terbesar dikecapi mukmin

NIKMAT terbesar dikecapi umat Islam ialah menjadi orang beriman kerana tidak akan ada kepercayaan yang diterima di sisi Allah selain daripada kepercayaan agama Islam dan tidak akan ada lagi nabi selain daripada Nabi Muhammad.
Namun, di kalangan orang beriman itu ada pula di kalangan mereka yang beruntung. Keuntungan mereka itu disebabkan oleh beberapa perkara seperti dijelaskan dalam surah al-Mukminun, ayat 1-9 bermaksud:
“Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. Orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tiada berguna. Dan orang menunaikan zakat. Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka mereka dalam hal ini tiada tercela, barang sesiapa yang mencari yang sebaliknya, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanat yang dipikulnya dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya”.
Dalam ayat itu dapat difahami ada enam perkara dilakukan oleh orang mukmin akan menyebabkan mereka menjadi orang beruntung.
  • Pertama, mereka adalah orang mukmin yang khusyuk solatnya. Ali Abi Talib menjelaskan khusyuk itu adalah kekhusyukkan hati.
Penjelasan Ali ini diperkuatkan oleh Hassan al-Basri yang menjelaskan bahawa kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri.
Khusyuk dalam solat hanya akan dapat dilakukan orang memfokuskan hati padanya dengan melupakan pelbagai aktiviti selain mengerjakan solat itu semata-mata serta mengutamakan solat ke atas aktiviti yang lain.
Pada saat itulah akan terwujudnya ketenangan dan kebahagiaan baginya seperti dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Anas bahawa Rasulullah bersabda:
“Diberikan kepadaku kecintaan terhadap yang baik dan terhadap wanita, dan dijadikan solat untukku sebagai amalan yang paling menyenangkan”. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai)
  • Kedua, orang mukmin menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan percakapan yang tidak berguna seperti dari perbuatan batil, syirik, maksiat dan yang tidak membawa faedah untuk dirinya seperti dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah al-Furqan, ayat 72 bermaksud: “Dan apabila mereka bertemu dengan (orang) mengerjakan perbuatan tidak berfaedah, mereka lalu (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.”
  • Ketiga, orang mukmin menunaikan zakat kerana pada harta dimiliki oleh seseorang itu ada hak orang lain perlu dilunaskan. Ia dijelaskan Allah dalam surah al-An’am, ayat 141 bermaksud: “Dan keluarkan haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya. Dijelaskan juga dalam ayat lain dengan mengeluarkan zakat itu dapat menyucikan jiwa seseorang mukmin.”
Ia dijelaskan Allah dalam firman-Nya dalam surah As-Syam, ayat 9-10 bermaksud:“Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang mengotorinya.”
  • Keempat, orang mukmin memelihara kemaluannya daripada perkara haram dengan tidak terjerumus dalam hal yang dilarang Allah sama ada dalam perzinaan dan homoseksual.
Mereka tidak akan mendekati seseorang melainkan isteri mereka sendiri dihalalkan oleh Allah. Malah Imam Shafie menggunakan ayat ini juga untuk mengharamkan onani.
  • Kelima, orang mukmin memelihara amanah diberikan dan janji dijanjikan. Mereka melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin apabila diberi tugas untuk dipikulnya dan tidak terlintas dalam hati sanubarinya untuk mengkhianati amanah itu. Dan jika mereka berjanji atau melakukan akad perjanjian, mereka akan menepatinya, tidaklah mereka ini seperti orang munafik.
  • Keenam, orang mukmin memelihara solatnya dengan melaksanakannya tepat pada waktunya“Ibn Mas’ud pernah bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah, apakah amal perbuatan disukai Allah? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Lalu apa lagi, tanyaku. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua orang tua. Kemudian apa lagi, tanyaku: Baginda menjawab: “Jihad di jalan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Melalui enam perkara itu akan membezakan antara keuntungan seseorang mukmin dengan mukmin lain. Ia bererti, tidak semua orang mukmin beruntung.
Hasil amalan itu, mereka akan ditempatkan oleh Allah dalam syurga Firdaus. Ia dijelas Allah juga dalam surah al-Mukminun, ayat 10-11 bermaksud: “Mereka itulah orang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.”
Rasulullah mengajar kepada umat Islam, sekiranya ingin memohon syurga Allah, maka mintalah syurga. Ia dijelaskan dalam hadis yang Rasulullah bersabda: “Jika kamu meminta syurga Allah, maka mintalah syurga Firdaus, kerana sesungguhnya Firdaus adalah syurga yang paling tinggi dan paling tengah. Darinya terpancar sungai-sungai syurga dan di atasnya ada Arasy Rabb yang Maha Pemurah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
INTI PATI
Amalan orang mukmin
  • Khusyuk solat.
  • Menjauhkan dirinya daripada perbuatan dan percakapan yang tidak berguna seperti dari perbuatan batil, syirik dan maksiat.
  • Memelihara kemaluannya daripada perkara haram seperti perzinaan dan homoseksual.
  • Menunaikan zakat.
  • Memelihara amanah dan janji.
  • Solat tepat pada waktu.
Bagaimana cemerlang dengan doa

Di samping berusaha umat Islam disuruh berdoa kerana kecemerlangan dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah doa ialah ibu ibadah. Demikian yang disabdakan Nabi SAW mengikut riwayat Imam Tirmizi. Doa yang rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan.
Perkara ini dinukilkan dalam kitab al-Azkar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, “Mintalah kepada Allah kurniaannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan (dari hambanya).”
Adab-Adab Berdoa
Doa yang diterima oleh Allah ialah doa yang datang dari hati yang khusyuk. Ketika berdoa beberapa adab perlu dijaga agar doa itu diberkati dan dimakbulkan Allah.
Antara adab-adab itu ialah:
1. Memilih waktu yang mulia. Antara waktu-waktu istimewa yang baik untuk berdoa, berpandukan hadis-hadis Nabi SAW, ialah di bulan Ramadan, pada hari Jumaat, pada hari Arafah, waktu sahur, ketika sedang berjihad, waktu hujan turun, selepas melaksanakan solat-solat fardu, antara azan dan iqamat, ketika sedang berpuasa dan ketika sedang sujud dalam solat.
2. Merendahkan diri kepada Allah dan khusyuk. Dalam surah Al-A’raf ayat 55 Allah berfirman, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan takut.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak memperkenankan doa yang datang daripada hati yang lalai.”
3. Bertaubat daripada dosa dan mengembalikan semula hak mereka yang telah dizalimi. Dosa yang dilakukan akan menjadi benteng yang menghalang penerimaan doa oleh Allah. Hal ini disebutkan dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi. Allah berfirman dalam surah At-Tahrim ayat 8, “Wahai mereka yang beriman bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (iaitu taubat yang sebenarnya).”
4. Meyakini bahawa doa itu akan diterima. Maksudnya, hendaklah kita berfikiran positif ketika berdoa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, “Berdoalah kepada Allah dengan kamu meyakini bahawa ia akan diterima.”
5. Tidak tergesa-gesa. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Nabi SAW bersabda,“Doa seseorang kamu akan diperkenankan selagi mana dia tidak bersikap tergesa-gesa dengan berkata, ‘Aku telah pun berdoa tetapi nampaknya tidak diperkenankan’.” Mereka yang tergesa-gesa bersikap seolah-olahnya mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Sepatutnya mereka berserah diri kepada Allah kerana Allah saja yang mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Tidak berdoa seseorang hamba di bumi ini melainkan ianya akan diperkenankan Allah, atau dipalingkan Allah satu keburukan daripadanya setimpal dengan apa yang dipohonnya, selama mana dia tidak meminta perkara yang berdosa atau meminta untuk memutuskan tali persaudaraan.”
6. Hendaklah dimulakan sesuatu doa dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Demikian juga adabnya ketika mengakhiri doa itu. Hal ini disebutkan di dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi dan Ihya Ulumuddin oleh Al-Ghazali berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW.
7. Disunatkan mengulang-ulangi sesuatu doa untuk menampakkan kesungguhan. Hal ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud melalui sahabat Abdullah ibn Masud yang berkata, “Sesungguhnya Rasulullah amat gemar mengulang-ulangi doa dan istighfar tiga-tiga kali.”
Punca Doa Tertolak
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah itu suci bersih dan Allah tidak menerima kecuali yang suci bersih jua”. Dan sesungguhnya Allah mengarah orang-orang mukmin dengan sesuatu yang perlu juga dilakukan oleh rasul-rasul. Allah berfirman, ‘Wahai rasul-rasul makanlah yang halal dan lakukanlah amalan yang salih.’
Allah juga berfirman, ‘Wahai mereka yang beriman, makanlah rezeki yang baik-baik yang dikurniakan kepadamu.’ Terdapat seorang lelaki yang bermusafir jauh sehingga menjadi kusut rambutnya dan berdebu mukanya. Lelaki ini menadahkan tangannya untuk bermohon kepada Allah dengan berkata ‘Ya Rab, ya Rab’ sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan doanya? Hadis ini menunjukkan sumber rezeki yang haram menjadi sebab musabab sesuatu doa ditolak oleh Allah.
Ibrahim ibn Adham pernah pada suatu ketika berada di kota Basrah. Beliau ditanya tentang punca sesuatu doa tidak dimakbulkan oleh Allah. Beliau berkata,
“Pertama, kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan haknya. Kedua, kamu mengatakan bahawa kamu mencintai rasulullah tetapi kamu tidak mengikut sunahnya. Ketiga, kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya. Keempat, kamu menerima nikmat Allah tetapi kamu tidak menunaikan syukurnya. Kelima, kamu berkata bahawa syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya. Keenam, kamu berkata bahawa syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya. Ketujuh, kamu berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak melarikan diri daripadanya. Kelapan, kamu berkata bahawa mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya. Kesembilan, kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan tentang keaiban orang lain dan kamu melupakan keaiban dirimu sendiri. Kesepuluh, kamu mengebumikan mayat tetapi kamu tidak mengambil pengajaran darinya.” (Dari buku ‘Tip-Tip Cemerlang Dari Al-Quran’ oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin)
Nukilan Dr. Danial Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Universiti Alexandria)
sahabat sejati

‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.
Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”
Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).
Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?
Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:
  • Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
  • Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
  • Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
  • Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
  • Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.
Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.
Ciri-ciri manusia unggul

Manusia unggul adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan as-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Bagi mewujudkan manusia unggul, seseorang itu hendaklah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia yang merupakan cermin keimanan dan amal salih.
1. Keimanan Yang Utuh
Keimanan kepada Allah swt adalah paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat. Allah swt berfirman dalam surah al-Asr:
‘ Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran’. ( Surah al-Asr : 1-3 )
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal salih.
Beriman kepada Allah adalah proses peralihan jiwa manusia daripada menganggap dirinya bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan mengaku tanpa syarat bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah. Iman merangkumi tiga unsur utama, pengetahuan yang mendalamkepercayaan yang jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan ruhaniyah yang cukup kental untuk membina jiwa dan jasmani manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada melakukan kejahatan dan maksiat.
2. Pelaksanaan Amal Ibadat
Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang berperibadi unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia itu sendiri ialah supaya beribadat kepada-Nya. Firman Allah swt :
‘ Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat’. ( Surah az-Zariat : 56 )
Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat khususiah yang menyentuh fardhu ain dan juga fardhu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia. Justeru itu, bagi individu yang berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta ataupun masyarakat adalah dianggap ibadat. Allah swt berfirman:
‘ Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya (dari perbuatan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela’. ( Surah al-Mukminun : 1-6 )
3. Akhlak Mulia
Akhlak mulia bagi peribadi unggul adalah hasil keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah saw adalah contoh utama pembentukan akhlak. Dalam sebuah hadith, baginda saw bersabda,
‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’. ( Riwayat Ahmad )
Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:
  • Amanah
Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada keadilan. Firman Allah swt:
‘ Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertaqwalah kepada Allah, Tuhannya’. ( Surah al-Baqarah : 283 )
  • Ikhlas
Ikhlas adalah inti setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah swt:
‘ Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya ‘. ( Surah al-Bayyinah : 5 )
Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
‘ Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang-orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayat. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim’. ( Riwayat Imam al-Baihaqi )
  • Tekun
Islam menggalakkkan umatnya supaya tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sabda Rasulullah saw,
‘ Sesungguhnya Allah swt menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun’. ( Riwayat Abu daud )
Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.
  • Berdisiplin
Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu kerja akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai denga lebih cepat lagi. Dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
  • Bersyukur
Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan: pertama; sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit atau banyak, kedua; bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah swt supaya kebajikan sentiasa dibalas dengan kebajikan. Allah swt berfirman:
‘ Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras’. ( Surah Ibrahim : 7 )
  • Sabar
Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah swt. Firman Allah swt :
‘ Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekiuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya’. (Surah Ali Imran : 200)
  • Adil
Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
‘Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang; dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri’. (Riwayat Abu Syeikh)
Kesan Manusia Beruntung Dalam Kehidupan
Seorang manusia yang memiliki sifat-sifat unggul adalah sangat beruntung kerana ia mampu mengemudi hidupnya dengan sempurna. Kondisi ini membuatkan ia dapat berperanan dengan baik kepada dirinya dan alam sekeliling.
Kesan Kepada Diri Sendiri
Manusia unggul akan berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya dan sentiasa dapat memenuhi tuntutan-tuntutan rohani dan jasmaninya dengan terkawal. Aspek-aspek rohani dan jasmani manuisa yang terdiri daripada empat perkara asas iaitu akal fikiran, roh, jasad dan syahwat akan dapat dididik dan dipandu berdasarkan fitrah sebenar berdasarkan fungsi kejadian manusia itu sendiri sebagai makhluk istimewa dan khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi ini.
Akal fikiran yang diciptakan Allah swt merupakan mahkota berharga yang menampilkan imej manusia. Ia berkeupayaan menerima ilmu, berfikir, membezakan yang baik dan buruk, boleh diajar dan dididik serta boleh menyampaikannya kepada orang lain. Melalui akal, seseorang itu mendapat hidayah dan petunjuk Allah swt menerusi pemerhatian dan penghayatan terhadap kejadian-kejadian alam dan ajaran-ajaran yang disampaikan oleh orang lain.
Al-Quran menggesa manusia supaya menggunakan akal fikiran, memerhati dan mengkaji kejadian-kejadian alam ini. Pemerhatian dan pengkajian ini mempunyai faedah yang sangat besar iaitu memenuhi dan mempertingkatkan kemajuan hidup yang kemudiannnya akan menemui hakikat kebesaran Allah swt sebagai Pencipta yang Maha Agung. Dengan itu ia selaku makhluk yang mempunyai daya akal dan keupayaan akan tunduk patuh kepada kekuasaan Allah swt dengan penuh kesedaran dan akan melaksanakan kehidupan ini dalam situasi yang betul dan menuju keredhaan Allah swt.
Roh dan nyawa adalah komponen utama manusia. Adalah terlalu sulit untuk diperkatakan kerana ia sebenarnya urusan Allah swt. Walaupun demikian ia amat mustahak kerana dengannya mausia boleh hidup, bernafas, mendenyutkan nadi, memberikan dorongan dan kekuatan perasaan.
Satu lagi komponen manusia ialah jasad yang merangkumi kulit, daging, otot, urat, darah, tulang, anggota pancaindera dan lain-lain. Masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dan meyempurnakan antara satu sama lain iaitu sesuai dengan kejadian manusia yang dijadikan Allah swt sebagai sebaik-baik kejadian. Seseorang yang terdidik dengan nilai-nilai unggul, jasadnya akan bergerak di atas panduan yang betul. Dia akan menggunakan kudratnya melakukan kerja-kerja yang baik, rehat dan tidur dengan seimbangnya, memakan makanan yang bersih dan halal, menjaga kesihatan diri, mengguna dan memelihara pancaindera dari sebarang kemudharatan, dosa dan sebagainya. Ini sesuai dengan firman Allah swt:
‘ … dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan’.
( Surah al-Baqarah : 195 )

Jelasnya jasad perlu dijaga supaya tidak terdedah kepada kebinasaan, penyakit dan sebarang kecacatan kerana kesempurnaan jasad turut membantu keunggulan hidup seseorang.
Unsur seterusnya yang dikurniakan kepada manusia ialah nafsu syahwat. Imam al-Ghazali pernah mengumpamakan nafsu sebagai binatang liar, bermakna ia sesuatu yang sukar dikawal. Sekiranya nafsu dapat dididk dan dikawal, ia akan menjadi jinak dan tunduk menurut segala kemahuan diri manusia. Tetapi sekiranya ia tidak dididik dan dikawal, dengan mudah ia menjadi raja kepada diri seseorang untuk melakukan apa sahaja kemahuan yang lebih cenderung kepada keburukan. Firman Allah swt;
‘ Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu)’. ( Surah Yusuf : 53 )
Bagi menenuhi keinginan syahwat ini, Islam membenarkan perkahwinan. Dengan demikian umat manusia akan membiak dan berkembang dengan cara yang betul di samping sebagai salah satu pengecapan kurniaan nikmat Allah swt dalam hidup berkeluarga.
Jelasnya, kejayaan atau kegagalan seseorang itu melaksanakan tanggungjawab, khususnya kepada diri sendiri adalah bergantung kepada berjaya atau gagalnya ia memenuhi tuntutan keempat-empat perkara tersebut. Aspek-aspek ini adalah asas pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Kesan Kepada Keluarga
Seseorang insan yang unggul akan mudah mengatur urusan hidup keluarganya. Ia dapat merencanakan soal-soal penddikan, saraan, pergaulan dan pembangunan keluarganya dengan tarbiah Islamiah. Ia dapat menjalankan tugasnya sebagai ra’i atau ketua keluarga dan dalam masa yang sama sebagai abid atau hamba Allah yang sentiasa menjaga hubungannnya dengan Allah swt.
Dalam sesebuah keluarga, aspek-aspek kesihatan fizikal adalah sangat perlu. Ini kerana kesejahteraan pemikiran dan kerohanian seseorang bergantung rapat kepada kesejahteraan fizikal. Seseorang mukmin yang kuat adalah lebih baik daripada yang lemah. Minda yang sihat akan lahir dari tubuh badan yang sihat. Oleh itu, tarbiah jasmaniah seperti yang dituntut oleh syarak perlulah dilaksanakan dalam keadaan yang teratur. Umpamanya dalam pemilihan makanan mestilah yang bersih, baik dan dari sumber yang halal. Amalan buruk yang boleh memudaratkan badan seperti merokok, meminum minuman keras, menyalahgunakan dadah dan sebagainya, hendaklah dijauhi. Sekiranya ketentuan ini tidak dipatuhi, kesihatan jasmani akan terjejas dan boleh memberi kesan buruk kepada mental, fizikal dan spiritual.
Pendidikan rohani pula adalah aspek yang penting. Ia merangkumi keimanan, pengamalan syariat, pelaksanaan tanggungjawab sebagai seorang muslim serta pembangunan mental dan spiritual. Seorang ketua keluarga bertanggungjawab membentuk dan mendidik keluarganya mengamalkan tuntutan-tuntutan yang dikehendaki oleh Islam. Dalam masa yang sama menjauhi perkara-perkara yang haram dan makruh. Ia juga mestilah memastikan ketulenan akidah keluarganya dan membersihkannya dari sebarang bentuk kekufuran dan kesyirikan serta mengikis jiwa dari kekotoran dan penyakit melalui amalan dan latihan yang mantap serta berterusan. Firman Allah swt:
‘Sesungguhnya berjayalah orang yang ( setelah menerima peringatan itu) berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal soleh) dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang ( dengan khusyuk)’.(Surah al-A’la : 14-15)
Seperti yang telah dinyatakan akal fikiran sangat berharga bagi manuisa. Islam juga menuntut umatnya supaya menggunakan akal fikiran dengan betul. Islam menyuruh manusia supaya menuntut ilmu yang bermanfaat dan ilmu itu pula hendaklah disebarkan melalui proses pengajaran dan pengembangan.
Seiring dengan kekuatan pemikiran, pendidikan akhlak adalah amat mustahak. Seseorang ketua yang unggul adalah model yang berkesan dalam pendidikan akhlak keluarganya. Ia perlu membimbing ahli keluarganya dengan akhlak Islamiah berdasarkan ilmu dan pengalaman yang ada padanya. Kegagalan sesetengah keluarga untuk mengamalkan akhlak Islamiah kebanyakannya berpunca daripada kegagalan ketua keluarga atau ibu bapa masing-masing yang tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti yang ditetapkan oleh Islam. Sebab itulah ibu bapa perlu membentuk keunggulan diri mereka terlebih dahulu sebelum amalan itu dapat diperturunkan kepada anak-anak mereka.
Seorang ketua keluarga juga dapat mengatur soal kehidupan ekonomi dan sosial keluarganya berpandukan nilai-nilai yang baik. Ia akan mempunyai rasa tanggungjawab untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarganya dengan mengamalkan sikap bersungguh-sungguh dalam kerjaya. Ia berkeyakinan bahawa kesungguhan bekerja adalah suruhan agama yang perlu ditunaikan. Dengan demikian ia akan membawa keluarganya keluar dari ruang lingkup kemiskinan yang menjadi salah satu musuh Islam yang boleh membawa kepada kekufuran seperti sabda Rasulullah saw :
‘ Hampir-hampr kefakiran itu membawa kepada kekufuran’. ( Riwayat Abu Naim )
Kesan Kepada Masyarakat, Negara Dan Ummah
Seseorang insan yang unggul akan memastikan hubungan kemasyarakatan dan keluarganya berada dalam satu ikatan yang jitu. Prinsip-prinsip hubungan kejiranan dan masyarakat di sekitarnya akan diasaskan kepada panduan-panduan yang digariskan oleh Islam. Firman Allah swt:
‘ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai ..’. ( Surah Ali Imran : 103 )
‘ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki’. ( Surah an-Nisa’ : 36 )
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
‘ Hubungan orang mukmin dengan orang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang menguatkan antara satu sama lain’. ( Riwayat at-Tabarani )
Setiap kelompok masyarakat perlu memberi perhatian berat kepada bidang penddikan. Insan yang beruntung dalam sesebuah masyarakat akan memudahkan usaha dan perancangan untuk meningkatkan kualiti masyarakat melalui aktiviti pendididkan, pengajian dan muamalat.
Penghayatan agama juga sangat mustahak. Merekalah yang akan mengembangkan penghayatan ajaran Islam melalui aktiviti-aktiviti yang berfaedah melalui cara-cara yang formal atau tidak formal. Susasana ini bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan berdisiplin, tetapi juga akan menampakkan masyarakat yang mempunyai imej yang tinggi serta mendapat keberkatan daripada Allah swt.
Seperti yang diketahui, ketrampilan seseorang individu atau masyarakat dengan ilmu agama semata-mata tanpa ilmu duniawi adalah sesuatu yang tidak sempurna. Dalam ertikata lain, seseorang muslim perlu mendapatkan pengetahuan yang luas dan kemahiran yang tinggi dalam ilmu selain ilmu agama yang menjadi keperluan asasi. Ia meliputi ilmu ekonomi, politik dan sosial yang perlu diketahui sebagai alat untuk meletakkan diri masing-masing dalam arus perdana kehidupan bermasyarakat dan beragama. Dengan sebab itu bidang ekonomi, politik dan sosial mesti diketahui dan dicenburi secara bersungguh-sungguh sekurang-kurangnya pada tahap yang paling asas. Bidang-bidang ini merupakan urusan hidup yang menjadi sebahagian penting yang dikehendaki oleh ajaran Islam seperti yang dijelaskan dalam firman Allah swt:
‘Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu (pahala dan kebahagiaan) hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu ( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia’. ( Surah al-Qasas : 77 )
Selain bidang sosial dan ekonomi, bidang poltik juga menjadi perkara yang penting dalam sesebuah masyarakat. Kestabilan politik sesebuah negara adalah berpunca daripada keunggulan dan kekuatan yang ada pada diri setiap individu, yang kemudiannya membentuk satu ikatan warganegara yang kukuh.
Apabila sesebuah masyarakat itu kukuh, akan lahir pula tokoh-tokoh berwibawa yang boleh diharap menjadi pemimpin bagi setiap kelompok masyarakat. Pemimpin ini pula perlu mempunyai ilmu, kemahiran dan sifat-sifat unggul sebagai pemimpin. Dia perlu diberi kepercayaan dan sokongan supaya masyarakat dan negara dapat dibawa kepada pencapaian matlamat kemakmuran hidup dan keredhaan Allah swt seperti yang dapat difahami daripada kisah negeri Saba’ ( Yaman Tua ) yang diceritakan di dalam al-Quran :
‘ Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun ( yang luas lagi subur) yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka) : ‘Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya , (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Amat Pengampun’. ( Surah Saba’ : 15 ).
Dalam konteks kepentingan sejagat pula seseorang insan yang unggul akan mampu memimpin ummah di peringkat yang lebih luas. Kejayaan memimpin negara akan diikuti oleh negara lain sebagai model. Pemimpin yang berwibawa di arena antarabangsa ini diperintahkaan oleh Islam supaya memberikan sumbangan untuk kesejahteraan ummah. Dengan itu tercapailah fungsi manusia sebagai khalifah Allah swt di atas muka bumi ini.
Penutup
Demikianlah antara kesan-kesan yang dapat dilahirkan oleh insan yang unggul dalam kehidupannya sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah hasil daripada pegangan dan amalan terhadap nilai-nilai unggul seperti yang telah dinyatakan.
Sebaik-baik bekal adalah Taqwa.
  • About Me

    My Photo
    PERSATUAN DIPLOMA PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN ISLAM
    View my complete profile

    tinggalkan pesanan anda utk owner ...


    ShoutMix chat widget

    luv islam

    iluvislam

    Followers